Saturday, July 12, 2008

Masuk Hulu


Petang itu lewat kami menjelajah masuk ke hulu. Jalan berbatu-batu, lubang kiri kanan; jalan penuh lopak-lopak air. Di tepi-tepi hutan, hati menujah mahu meneroka hidup Iban di rumah panjang. Mahalnya pengalaman tersimpan di hati. Seperti mahalnya membina istana, mahal lagi. Sungguh, dari dulu saya mahu masuk rumah panjang. Petang hening semalam, gelodak gembira tinggi menggunung. Petang makin berengsot pergi. Kami makin dekat. Rumah Panjang Jandok makin menggamit di depan mata.


Ada sungai sempit di depan rumah panjang. Jauh menyusup, melihat warga Iban berkemban dan berseluar pendek bermain di gigi air. Perahu lama tersadai di tebing sungai di depan rumah. Bunyi kocak air, anjing ke sana ke mari, sekali sekala berlari pula anak kecil di depan anjung rumah. Suasana penuh tradisi, deru angin gemalai membelai kedatangan kami.

Ada anak kecil; bagai merpati jinak. Bila digamit, lari-lari pula. Malunya melihat orang asing bertandang di rumah. Teman bermanis laku, meminta izin berjumpa tuai rumah sebelum membawa kami berziarah. Tuai rumah ramah tamah, bersama keluarganya melayan kami penuh hormat; menghormati tetamu. Sy sempat melintas beberapa keluarga, rancak berborak sesama sendiri di anjung rumah. Setiap bilik, ditampal nombor. Ada lapan belas bilik semuanya. Ada dapur. Saya pandang atas. Riak ingin tahu tercunggit di hati. Tengkorakkah? Bergantungan di tiang dalam rumah.


“Pergilah ambil gambar. Tengorak-tengkorak tu umurnya hampir 200 tahun. Nenek moyang mereka, pahlawan Iban. Kalau mat salleh datang, dia caj RM15 untuk ambil gambar.”




Suami teman sy dulunya mengajar di kampung itu. Sementelah, dia dikenali orang-orang rumah panjang. Senang untuk kami berinteraksi dan dibenarkan masuk ke rumah. Senang juga mereka memahami yg kami Islam tidak minum ‘itu’ dan makan ‘itu’. Yang penting; jangan sombong, terlepas cakap atau perlu lebih ingat, kita berada di tempat orang. Mereka berbual berdialek Iban; berkitar cerita pembunuhan 2,3 hari lepas di pekan Kapit. Warga Iban mati dibunuh. Dipotong leher. Daerah kecil; berita cepat tersebar. Pun; kita hormat mereka, mereka tidak susahkan kita. Cerita bunuh-membunuh di mana-mana ada. Di Kuala Lumpur, banyak lagi tentunya. Cuma, kita perlu waspada. Jaga maruah, jaga diri menumpang di tempat orang.

Sebelum datang ke Sarawak; teman sama-sama yg akan berbudi di Sarawak pernah mengingatkan; “Kita jangan sesuka hati marah murid. Nanti disumpitnya kita.”

Itu cerita sebelum kami datang ke Sarawak. Bersaru minda memikirkan hidup yang bakal dilalui. Macam-macam cerita prejudis bersaring. Nanti akan jadi macam itu. Kalau buat ini, buruk padahnya. Bomoh-membomoh. Mereka juga sebenarnya seperti kita. Ada Islam. Ada Iban yang menghormati orang lain.

Pun; cerita disumpit mungkin masih ada. Tapi tidak banyak. Pernah seorang teman berkhidmat di hulu, tengah hutan bersama anak-anak Penan. Guru-guru perlu waspada; tingkah perlu jaga. Tidak boleh marah sesuka hati.Takut nanti ada atap-atap rumah berkeriut disumpit mereka. Racunnya berbisa. Penawarnya hanya ada pada mereka. Maka, kita jaga tingkah laku, InsyaAllah tidak akan ada apa-apa.

Guru-guru sekolah menengah bila dihantar ke Sarawak atau Sabah, tidak perlu bimbang banyak; kerana sekolah di bandar atau paling kurang luar bandar. Cikgu-cikgu sekolah rendah perlu lebih beringat; persiapkan mental, atau sediakan fizikal kerana sekolah kebanyakan besarnya di muara-muara sungai atau jauh masuk ke hutan. Ada yg perlu mengangkut tilam, tong gas naik perahu sebelum sampai ke kawasan pedalaman. Tidak kira lelaki perempuan.

Langit hitam mengiringi kepulangan kami dari rumah panjang. Menyinggah sebentar di SK Ulu Yong, bergema lagu Ibu Pertiwiku di ruang gelanggang sekolah. Perhimpunan murid-murid setiap petang sebelum masuk ke asrama. Awan membedung pejal menggawangi pengakhiran jelajah kami. Mungkin saya tidak akan datang lagi. Ada rasa puas, kerana tinggal di Sarawak tidak akan ada maknanya kalau tidak masuk ke hulu.

Metil jingga kami redahi dengan melintasi anak-anak dara di tepi-tepi bukit mencari line telefon. Alahai, teknologi makin mempengaruhi hingga anak-anak muda tidak mengira malam kian pekat.


p/s: Cuti bulan 8 ini mahu ke Miri pula. Jelajah Borneo selagi ada nafas...(*_*)